SATU MALAYSIA

SATU MALAYSIA

Isnin, 14 September 2009

BERITA USAHAWAN

PBUNS latih 1,251 usahawan B-putera Sabah tahun lepas
13th September, 2009

KOTA KINABALU: Rakyat terutama golongan belia perlu berdikari tanpa terlalu mengharapkan peluang pekerjaan sama ada yang ditawarkan oleh kerajaan atau swasta.

“Kita tidak boleh terus mengharapkan majikan menyediakan pekerjaan kerana pada masa ini terlalu ramai orang yang memiliki kelulusan tinggi,” kata Pengurus Pembudayaan dan Latihan Pusat Bimbingan Usahawan Negeri Sabah (PBUNS) Jusli Potoh.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi PBUNS bersedia untuk menggalakkan rakyat menjalankan perniagaan sendiri kerana ia akan dapat membantu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk orang ramai terutama golongan belia.

Tahun lepas, PBUNS berjaya melatih 1,251 usahawan Bumiputera di negeri ini dalam pelbagai bidang perniagaan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 836 peserta adalah usahawan wanita dan selebihnya usahawan lelaki (415 peserta) mengikuti 14 jenis program yang merangkumi kursus penyediaan makanan, perniagaan taska, bengkel kecantikan, jahitan, keusahawanan, simpan kira-kira dan kontraktor. Pada 2007, jumlah peserta lelaki ialah 319 manakala wanita 1,086 orang, katanya.

“Kita akan teruskan program latihan ini untuk kebaikan usahawan Bumiputera. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebanyak RM3 juta diperuntukkan, dan untuk tahun ini sahaja PBUNS diberi peruntukan RM1.5 juta oleh kerajaan negeri bagi membiayai kursus latihan,” katanya.

Jusli berkata demikian selepas memberi taklimat kursus Bengkel Pertanian berkaitan perniagaan lebah madu, cili padi dan serai kepada 48 peserta kursus di Bilik Serbaguna PBUNS di sini.

Katanya kursus tiga hari itu berakhir semalam yang antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada peserta kursus untuk meningkatkan pengetahuan mengenai kemahiran asas pertanian dan berkongsi maklumat dan teknik menghasilkan produk yang lebih berkualiti tinggi dan pemasaran.

Beliau berkata, sebelum ini PBUNS hanya mendapat peruntukan RM47,000 setahun melalui kerajaan negeri dan selebihnya RM250,000 setiap tahun daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum dimansuhkan pada tahun ini.

Jusli berharap kursus anjuran PBUNS itu dapat melahirkan ramai usahawan khususnya di kalangan bumiputera Sabah dalam bidang perniagaan.

Sehubungan itu, Jusli meminta seluruh pejabat daerah di negeri ini supaya memaklumkan kepada PBUNS jika terdapat mana-mana usahawan Bumiputera yang memerlukan latihan mengenai keusahawan.

Katanya, PBUNS sedia turun padang untuk membantu dan membimbing bakal usahawan di kawasan luar bandar atau para graduan yang belum mendapat pekerjaan untuk mempelajari dan menimba ilmu yang pelbagai.

1 ulasan:

  1. Syabas, anda membuatkan Pitas semakin maju lagi. Saya rindu nak balik sana.

    BalasPadam